LINGGI, 16 Februari- Program Jualan Harga Ladang Nismilan Prihatin di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi akan diperluas ke tiga zon di bawah DUN berkenaan iaitu Pekan Linggi, Pekan Pasir Panjang dan Bandar Baru Sungai Lang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi Mohd Faizal Ramli berkata, program jualan itu menawarkan harga bagi barangan keperluan asas yang rendah berbanding harga pasaran.
Program jualan seumpama itu turut mendapat kerjasama daripada pelbagai agensi kerajaan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN).
Program itu juga merupakan sebahagian inisiatif kerajaan negeri dalam membantu meringankan beban rakyat bagi mendapatkan barangan keperluan asas dengan harga lebih murah.
"Harapan saya supaya kita dapat teruskan program ini dengan lebih kerap. Keadaan ekonomi juga dilihat kembali pulih, jadi ini merupakan peringkat untuk kita meningkatkan pertumbuhan ekonomi. Jadi rakyat memang memerlukan program-program seperti ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Program Jualan Harga Ladang Nismilan Prihatin di tapak parkir Pusat Khidmat DUN Linggi di sini.
Dalam pada itu, penduduk Linggi dilihat mula membanjiri tapak parkir tersebut seawal pukul 8.00 pagi tadi untuk mendapatkan barangan keperluan asas dengan harga murah.
Antara barangan keperluan asas yang dijual dalam program tersebut adalah ayam, sayur-sayuran, minyak masak paket serta telur.
Sementara itu pengunjung Umadewi Kanagasabapthy berpendapat harga yang ditawarkan semasa program itu lebih murah berbanding di pasar.
"Pada saya, harga jualan di sini lebih rendah berbanding di pasar, jadi boleh mengurangkan perbelanjaan. Lagipun barangan yang dijual nampak bagus. Terima kasih kepada kerajaan negeri untuk mengadakan program jualan seperti ini."
Bagi Rosmah Yahya pula, program jualan seperti itu sememangnya dinantikan untuk membeli barangan keperluan harian dengan harga lebih murah.
"Biasanya harga ayam RM9.00 sekilogram, tetapi di sini ia dijual seekor. Jadi memang puas hati dengan harga tersebut. Orang kampung pun tertunggu-tunggu jualan seperti ini, kalau boleh buatlah secara berterusan sebab sekarang setiap minggu diadakan tetapi di lokasi berbeza. Agak sukar untuk mak cik ke tempat lain."