fb fb fb fb fb

Program Jualan Agro MADANI akan diteruskan di seluruh negara

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup

KUALA LUMPUR, 5 Mac - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan meneruskan Program Jualan Agro MADANI (JAM) di pelbagai lokasi seluruh negara, bagi memastikan penglibatan lebih ramai usahawan dalam memasarkan produk pertanian mereka secara terus kepada pengguna.

Timbalan Menterinya Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, program JAM turut menunjukkan kejayaan apabila dapat menurunkan harga barangan asas daripada 10% hingga 30%, lebih murah berbanding daripada harga pasaran.

Program itu sekali gus dapat memberikan penjimatan kepada pengguna.

"Pada tahun 2024, KPKM menyasarkan untuk melaksanakan sebanyak 5,000 program Jualan Agro MADANI untuk mencapai sasaran keseluruhan sebanyak 10,000 bagi tempoh 2023 hingga 2024.

"Pelaksanaan program Jualan Agro MADANI secara berterusan mencerminkan tekad Kerajaan Perpaduan dalam menangani isu kos sara hidup bagi memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi dan tersedia buat seluruh rakyat," kata Arthur menjawab pertanyaan yang dikemukan Ahli Parlimen Sembrong Datuk Sri Hishamuddin Tun Hussein, di Parlimen.

Katanya, hingga 31 Disember tahun lalu sebanyak 5,608 program JAM telah berjaya dilaksanakan dan ia melebihi sasaran yang ditetapkan.

Selain berjaya mencatatkan 2.9 juta pengunjung,  74,800 usahawan dengan nilai jualan sebanyak RM93.74 juta di sepanjang penganjuran.

TETITIA YUSOFF