fb fb fb fb fb

Program Jom Kenali Agrikomoditi pupuk kesedaran mengenai produk komoditi negara

(Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin ditemu bual media 
selepas menghadiri program Jom Kenali Agrikomoditi di Ampang, Selangor, hari ini)  

AMPANG, 23 Oktober - Program Jom Kenali Agrikomoditi diterapkan ke peringkat komuniti bandar bagi memupuk kesedaran mengenai kebaikan produk komoditi negara.

Kesedaran tersebut bagi menjaga kepentingan sektor agrikomoditi negara khususnya dalam merealisasikan hasrat Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) untuk mempelopori penjualan minyak sawit ke seluruh dunia.

Menurut Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin, kesedaran dipupuk menerusi Jelajah Agrikomoditi di peringkat antarabangsa dan dalam negara bagi menangkis persepsi buruk negara luar serta memperkasa enam komoditi iaitu sawit, getah, koko, lada, kenaf dan kayu kayan yang menyumbang kepada pendapatan negara.


(Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin ketika menyampaikan 
ucapan pada program Jom Kenali Agrikomoditi di Ampang, Selangor, hari ini)  

"Kita percaya bahawa walaupun ia komuniti bandar, tak tanam sawit dan tak tanam getah, tetapi pengetahuan tentang kedudukan komoditi kita itu penting untuk rakyat apa lapisan sekali pun, sekiranya ada apa-apa tuduhan yang diberikan ketika mereka bertemu dengan orang ramai ke, dengan warga asing ke, jadi mereka boleh memberikan penjelasan yang jelas bila mereka bila menghadiri program sebegini," kata beliau ketika ditemui media selepas menghadiri program Jom Kenali Agrikomoditi, di sini hari ini.

Tambah Zuraida, Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 menjadi garis panduan dan diyakini berupaya memperkasa kedudukan sektor agrikomoditi sebagai nadi pemulihan ekonomi negara yang berpandulan kepada lima teras iaitu kemampanan, teknologi, nilai tambah, keterangkuman serta perkongsian sumber dan kekayaan.

Media Baharu