KUALA LUMPUR, 3 Jun- Lebih 20,000 pengunjung dijangka mengunjungi Program Jelajah Karnival Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) 2024 di Kelantan pada Khamis ini.
Penolong Pengarah Kanan Jelajah Karnival KPDN 2024, Norfaridatul Akma Mohamed Noor berkata bertemakan 'Kita Pengguna Daya Negara' ia turut menjadi medium terbaik sebagai pusat sehenti kepada rakyat melalui beberapa program serta reruai yang ditawarkan.
"Kita di Putrajaya, jadi kalau ada apa-apa masalah, susah orang akan cari kita..jadi, kali ini kita bawakan, kita perkenalkan segala maklumat-maklumat untuk kita terangkan apa peranan dan fungsi KPDN kepada orang ramai.
"Orang ramai juga dapat maklumat mengenai kepenggunaan seperti Kempen Beli Barangan Malaysia, Menu Rahmah dan Jualan Rahmah," katanya kepada pemberita menerusi rancangan terbitan RTM di sini.
Sebanyak lima lokasi dipilih untuk program itu iaitu di Perlis, Kelantan, Sarawak, Perak dan Melaka.
Program tersebut bermula Mei lalu sehingga Disember depan.