CHANGLUN, 12 Julai – Program Hijau Taman Herba dan Kitar Semula di Felda Batu 8, Changlun berjaya memberi pendedahan kepada 30 mahasiswa Universitas Mataram dan Universitas Pancasila dari Indonesia untuk meningkatkan jaringan hubungan dan budaya komunikasi dengan komuniti.
Projek bersama masyarakat itu diadakan sempena Program Mobiliti Pelajar Antarabangsa (ISEP’24), turut disertai 20 mahasiswa dari Inasis MAS, Pusat Pengajian Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) Universiti Utara Malaysia (UUM) serta 30 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Batu 8.
Program Hijau Taman Herba yang turut disertai 20 pensyarah dan guru, bukan sahaja dapat membudayakan perlestarian hijau dalam kalangan mahasiswa tetapi merangkumi komuniti setempat.
UUM khususnya, mempunyai peranan bagi menggalakkan tanggungjawab sosial dan penglibatan sivik dalam kalangan pelajar untuk menyumbang kepada komuniti setempat.
Menerusi program itu, peserta bersama masyarakat bekerjasama membina Taman Herba di kawasan Felda Batu 8 dengan menanam 40 pokok herba.
Taman Herba itu dapat mengindahkan lanskap perkampungan selain menjadi simbol kerjasama erat komuniti, sekolah dan universiti.
Selain itu, Program Taman Herba juga selaras dengan slogan UUM sebagai “Universiti di Rimba Hijau” dan menggalakkan usaha meluaskan kawasan hijau untuk kelestarian alam.
Peserta program kali ini turut didedahkan kepada aktiviti kitar semula yang boleh menjana pendapatan sampingan di samping memelihara kebersihan penempatan penduduk.
Murid-murid sekolah yang hadir berpeluang untuk berinteraksi dan mengenali budaya Indonesia daripada mahasiswa mobiliti yang menyertai ISEP’24 ini.