fb fb fb fb fb

Program Intevensi Literas, Numerasi bantu murid kuasai 3M – Fadhlina

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek

PUTRAJAYA, 18 Mac - Kementerian Pendidikan (KPM) memperkenalkan Program Intervensi Literasi dan Numerasi kepada murid tahun satu bagi pengesanan awal terhadap murid yang belum menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M).

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata program pengesanan awal itu bermula pada sesi akademik 2024/2025.

Katanya, tempoh tiga bulan pertama adalah untuk guru menjalankan proses saringan bagi mengenal pasti murid tahun satu yang berhadapan dengan masalah penguasaan 3M.

“Selepas tiga bulan, murid yang dikenal pasti belum menguasai kemahiran 3M akan dikeluarkan dari kelas semasa dan ditempatkan di bawah program ini selama tiga bulan.

“Murid-murid ini akan mula mengikuti program intervensi bermula Julai. Apabila murid berkenaan telah kompeten dalam tempoh tiga bulan, mereka akan kembali ke kelas asal,” katanya.

Pada Mac 2020, KPM telah memperkenalkan Program Literasi dan Numerasi Sekolah Rendah (PLaN) sebagai sokongan pengajaran dan pembelajaran yang komprehensif serta menyeluruh untuk murid tahun dua dan tiga.

Ia bagi memastikan murid tahun dua dan tiga menguasai sekurang-kurangnya tahap penguasaan minimum dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata Dokumen Penjajaran Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) (semakan 2017) Edisi Tiga bagi mata pelajaran Sains dan Matematik Tahap Satu telah sedia untuk digunakan bermula sesi akademik 2024/2025.

Beliau berkata ia dirangka melibatkan kemas kini pada kandungan mata pelajaran sedia ada serta mengambil kira pandangan pakar, pemegang taruh dan masyarakat umum.

“Dokumen ini disediakan sebagai pilihan kepada guru dalam pelaksanaan kurikulum sekolah rendah dan boleh digunakan bersama-sama Modul Bimbingan Sains dan Matematik Tahap Satu,” katanya dan menambah dokumen penjajaran bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris akan menyusul tidak lama lagi.

Jelasnya, penataran bagi semua inisiatif berkenaan akan disebarluaskan kepada semua guru mata pelajaran Sains dan Matematik sekolah rendah bermula esok melalui penganjuran bengkel serta latihan.

Fadhlina berkata semua usaha berkenaan merupakan pendekatan untuk melihat ke hadapan sebagai langkah persediaan pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 yang memberi tumpuan kepada penguasaan literasi, numerasi dan pembentukan karakter murid.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI