fb fb fb fb fb

Program Hijrah Insaniah manfaat pelajar memerlukan

FOTO HIASAN

IPOH, 10 Jun - Pendidikan murid luar bandar terus diberikan tumpuan menerusi pelaksanaan program Hijrah Insaniah bawah kelolaan Yayasan Perak.

Seramai 32 orang murid tingkatan satu yang layak akan ditempatkan di empat Sekolah Asrama Harian di sekitar Ipoh bagi meningkatkan pencapaian akademik, sahsiah dan persediaan ke arah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2028.

Menurut Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri, Khairudin Abu Hanipah, projek rintis itu akan menaja segala keperluan persekolahan murid tersebut sepanjang tempoh lima tahun pembelajaran.

"Sekolah yang terlibat bagi murid ini adalah Sekolah Izzuddin Shah seramai 10 orang murid. Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Permaisuri Bainun, sembilan orang murid; Sekolah Menengah Kebangsaan, tujuh orang murid dan Sekolah Raja Perempuan Taayah seramai enam orang murid. Murid-murid yang terpilih adalah merupakan murid atau anak kelahiran negeri Perak yang berpotensi cemerlang dan daripada keluarga berpendapatan isi rumah bawah RM3,000 sebulan," kata Khairudin, di sini.

"Kita lihat matlamat kita ialah 'one third high' iaitu untuk mencapai negeri yang mempunyai kedudukan teratas, kelima teratas dalam seluruh Malaysia. Jadi kita akan menghala usaha-usaha mencapai hasrat tersebut," kata Pengurus Besar Yayasan Perak, Dr Nasreen Khanum Nawab Zadah Khan.

Program Hijrah Insaniah merupakan salah satu usaha kerajaan negeri bagi meringankan beban kewangan ibu bapa, di samping menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif kepada murid terlibat.

Projek tersebut turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK).

TETITIA YUSOFF