fb fb fb fb fb

10,000 jemaah penuhi Masjid Wilayah Persekutuan sertai program #GengSubuhMacamJumaat

Program #GengSubuhMacamJumaat anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bersama Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) berlangsung di Masjid Wilayah Persekutuan hari ini.

KUALA LUMPUR, 24 Mac- Seramai 10,000 jemaah memenuhi Masjid Wilayah Persekutuan sempena Program Geng Subuh Macam Jumaat anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bersama Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).

Program bermula seawal pukul 4.30 pagi, dengan sebahagian jemaah hadir lebih awal untuk beriktikaf serta mengerjakan qiamullail dan bersahur.

Aktiviti diteruskan dengan solat Subuh berjemaah serta sesi tazkirah bertajuk “Integriti, Jihad Sanubariku” yang disampaikan Profesor Madya Dato’ Dr. Mohd Izhar Arif Mohd Kashim.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar, kerjasama seumpama itu, penting dalam usaha mendekatkan orang ramai dengan Tuhan.

"Tidak ada cara kecuali kita semua ini menghampirkan diri kepada Allah swt. "Jika agensi penguat kuasa boleh menjalankan tanggungjawab dengan amanah, Insya-Allah tidak timbul isu ketirisan dan salah guna kuasa,” katanya ketika berucap pada Program Ihya' dan Erat Ramadan Bersama #GengSubuhMacamJumaat yang diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

Pada majlis itu Mohd Na’im turut melancarkan tabung Geng Sedekah Ramadan yang dilaksanakan oleh JAWI bagi membantu orang ramai bersedekah ketika bulan Ramadan.

Lebih menarik, seramai lima jemaah bertuah turut membawa pulang satu unit Gold Wafer Coin Habib Jewels setiap seorang setelah memenangi hadiah cabutan bertuah yang disumbangkan Bank Islam Malaysia Bhd.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI