PETALING JAYA, 22 April- Program Felo Keadilan yang dirasmikan dalam Konvensyen 25 Tahun Keadilan semalam, akan dilaksanakan bermula 1 Julai depan.
Penyertaan terbuka kepada peserta berumur 22 hingga 40 tahun itu bertujuan melahirkan perintis pemimpin muda dalam parti tersebut.
Menurut Naib Presidennya, Nik Nazmi Nik Ahmad, pemerkasaan anak muda penting bagi meneruskan legasi perjuangan dan pertumbuhan parti, terutamanya cabaran untuk mendekati anak muda pada hari ini.
"Kita perlu fikir 25 tahun ke hadapan, bila kita raikan ulang tahun ke-50 parti bagaimana. Yang saya ingat, saudara Saifuddin ada menyentuh sedikit semalam bagaimana kita hendak tengok generasi baru parti pada waktu itu.
"Tak nak la 25 tahun ke depan masih lagi Rafizi, Nik Nazmi, Nurul Izzah. Kita nak tengok muka-muka baharu. Bagi saya perlu ada campur tangan khusus yang kita buat dalam bentuk Program Felo Keadilan", katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR, Petaling Jaya.
Tambahnya, peserta akan didedahkan kepada matlamat dan hala tuju parti, asas kepimpinan dalam masyarakat, penggubalan dasar, aktiviti lapangan di peringkat akar umbi serta modul-modul pendidikan politik.
Bakal berlangsung selama tiga bulan, ia terbuka kepada ahli Keadilan merangkumi para aktivis serta golongan profesional.
Peserta perlu memenuhi syarat minimum iaitu mempunyai Ijazah Sarjana Muda dan pengalaman kerja dalam sebarang bidang sekurang-kurangnya tiga hingga lima tahun.
Calon juga perlu menunjukkan pengalaman dalam peranan kepimpinan serta minat dalam bidang politik.