SEPANG, 18 November- Program Certified Officer in Quality Assurance of Higher Education (CQA) 2024 anjuran Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) berjaya mempersiapkan pegawai jaminan kualiti di institusi pendidikan tinggi (IPT) untuk menyediakan program pengajian yang dinamik dan relevan.
Majlis Graduasi CQA MQA 2024 yang berlangsung semalam dihadiri oleh 59 pegawai dan dirasmikan oleh Pengerusi MQA Tan Sri Mohd. Adib Abd. Rahman.
Mohd. Adib mengingatkan graduan untuk menjadi pemacu perubahan dalam penambahbaikan kualiti pendidikan tinggi.
"Graduan CQA bukan sekadar lulusan program ini, mereka adalah pemimpin masa depan yang akan membawa perubahan penting dalam penambahbaikan jaminan kualiti di institusi masing-masing," katanya ketika berucap pada majlis itu di sini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MQA Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran menyatakan bahawa program berkenaan menerima sambutan menggalakkan dan bertujuan untuk melahirkan 200 graduan CQA menjelang 2030.
"MQA juga akan menawarkan program International Quality Assurance Professional Programme (IQAP) kepada negara-negara di Asia Barat, Asia Tengah, benua Afrika serta negara pascaperang bagi melatih pegawai jaminan kualiti mereka.
"Inisiatif ini selari dengan hasrat Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir untuk menjadikan Malaysia hab Pendidikan global," katanya kepada pemberita RTM.
Dalam pada itu, Ketua Penolong Pengarah di Institut Pendidikan Guru (IPG) Malaysia Mohd Zakhiry Ab. Rahman berkata program itu memberi kemahiran teknikal dan keyakinan untuk melaksanakan tugas sebagai pegawai jaminan kualiti.
"Ia juga melengkapkan diri saya dengan kemahiran dalam Pendidikan Berasaskan Hasil (OBE) dan pengauditan, serta wawasan antarabangsa yang luas," katanya kepada pemberita RTM.