fb fb fb fb fb

Program budayakan tanam pokok perlu diperhebat di Lembah Klang - Fahmi

Menteri Komunikasi merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil melancarkan program 'Bangsar Ecological Connector' di Pusat Komuniti Bukit Bandaraya, Bangsar / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 17 Ogos - Program membudayakan penanaman pokok sekitar Lembah Klang perlu diperhebat.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata inisiatif tersebut memerlukan kerjasama pihak berkepentingan seperti Jabatan Landskap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan penduduk di kawasan masing-masing.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata program sedemikian turut berperanan menerapkan idea menanam pokok pelbagai spesies supaya biodiversiti alam tidak dipengaruhi.

"Hutan-hutan di Malaysia mempunyai pelbagai spesies flora dan fauna, tapi sebagai contoh kalau kita tanam pokok yang sama seperti di Jalan Terasek (Bangsar), sekiranya satu daripada pokok terjangkit penyakit, ia lebih mudah merebak.

"Kalau kita pelbagaikan spesies pokok yang ditanam, ia akan menjamin kesihatan ekosistem di sesebuah tempat. Jadi, saya berharap Lembah Pantai dapat menjadi peneraju program seperti ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program Bangsar Ecological Connector oleh Free Tree Society di Pusat Komuniti Bukit Bandaraya, di sini.

Bangsar Ecological Connector merupakan inisiatif penghijauan perintis yang menghubungkan hutan bandar Pulai Trail dengan kawasan hijau Rimba Ilmu di Universiti Malaya.

Projek berkenaan bukan sahaja menambah baik ruang bandar, tetapi juga memupuk rasa tanggungjawab dalam kalangan komuniti.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN