TANJUNG SEPAT, 30 September – Ketibaan bulan Ogos dan September memupuk rasa patriotik dalam kalangan rakyat Malaysia, terutama pada tarikh keramat, iaitu 31 Ogos dan 16 September. Bagi menyemarakkan semangat kenegaraan, pelbagai program telah dirancang, khususnya untuk anak muda atau golongan belia yang merupakan generasi selepas kemerdekaan.
Atas semangat itu, Program Bike Week Team Selangor 2024 diadakan baru-baru ini di sini, disertai lebih 100 peserta dari pelbagai daerah; berkonvoi menaiki motosikal.
Menurut Ketua Unit Komuniti Team Selangor, Faris Afiq Ikhwan Saifullah, pendekatan program santai seperti ini terbukti berkesan dalam menarik minat golongan belia untuk mendalami erti kemerdekaan dan paling penting nilai patriotisme.
“Walaupun aktiviti konvoi bukanlah baru bagi mereka, peserta menunjukkan keterujaan yang tinggi. Program ini bukan hanya seronok, tetapi juga mempunyai objektif menyemarakkan semangat patriotik,” jelas Faris.
Menariknya, program turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau lebih dikenali sebagai Altimet. Beliau turut berkonvoi sejauh 100 kilometer bersama-sama peserta menuju ke lokasi program.
“Semangat patriotik mengatasi segala kepenatan, dan cuaca panas tidak mematahkan semangat mereka,” kata Altmet.
Pelbagai aktiviti dijalankan termasuk penanaman anak pokok di Kebun Komuniti Kampung Ladang, pembersihan Pantai Batu Laut, serta aktiviti rewang untuk menyediakan juadah nasi ambeng dan bubur sumsum.
“Kami ingin menghargai tradisi masyarakat Selangor yang pelbagai, dan menariknya, ada peserta yang baru pertama kali mempelajari cara penyediaan juadah ini,” tambah Faris.
Bagi Ketua Kampung Ladang, Puan Saluah Mundagir, beliau berbesar hati menerima kunjungan peserta. Mengenai bubur sumsum yang disediakan, sajian itu adalah manisan tradisional masyarakat Jawa untuk meraikan majlis istimewa.
“Program Bike Week adalah yang pertama diadakan Team Selangor. Melihat sambutan dan kejayaan mencapai objektif program, saya yakin ia akan diteruskan pada masa hadapan,” ujar Faris.
Program yang melibatkan kerjasama dengan MPKL Zon 23, JPKK Ladang Batu, dan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Tanjung Sepat, diharap dapat meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan peserta dan memperkukuh hubungan dengan masyarakat setempat.