fb fb fb fb fb

Program Berkhatan Anak Pahang terima peruntukan RM1 juta

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam Majlis Pelancaran Program Berkhatan Anak Pahang Peringkat Negeri Pahang di Dataran Masjid Sungai Koyan

KUALA LIPIS, 16 Disember - Kerajaan Negeri Pahang menyediakan peruntukan sebanyak RM1 juta untuk Program Berkhatan Anak Pahang yang melibatkan kira-kira 3,500 kanak-kanak di seluruh negeri pada tahun ini. 

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata program itu akan diteruskan pada tahun hadapan dengan jumlah peruntukan sama telah diumumkan dalam Belanjawan 2024 baru-baru ini. 

"Yang kita anggarkan lebih kurang 3,500 kanak-kanak lelaki dan buat secara berfasa setiap daerah. Kita buat daerah Lipis di Koyan dan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban ibu bapa kerana saya tahu kos untuk berkhatan ini lebih kurang RM150," kata Wan Rosdy ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Program Berkhatan Anak Pahang Peringkat Negeri Pahang di Dataran Masjid Sungai Koyan, di sini.

Menurutnya, dengan  adanya pembiayaan daripada Kerajaan Negeri Pahang itu, diharapkan beban ibu bapa lebih ringan daripada segi perbelanjaan untuk berkhatan.

Hadir sama pada majlis itu ialah semua exco kerajaan negeri Pahang dan wakil-wakil kerajaan. 

Sementara itu beliau berkata, kanak-kanak terpilih terdiri daripada keluarga B40 yang telah dikenal pasti dan layak untuk menyertai program berkhatan percuma ini. 

Pemilihan kanak-kanak ini diuruskan Pejabat Daerah dan Tanah, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Penghulu serta Ketua Komuniti yang mempunyai data penduduk. 

TETITIA YUSOFF