LABUAN, 20 April – Lebih 500 individu termasuk keluarga, pendidik dan sukarelawan berkumpul bagi meraikan sambutan Aidilfitri bersempena Hari Kesedaran Autisme Sedunia Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan.
Majlis anjuran Labuan Autism Care Centre (LACC) di bawah Persatuan Autisme Labuan ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang autisme, sambil meraikan kegembiraan Syawal bersama anak-anak istimewa.
Pengarah LACC Labuan, Shaffry Mohd Sarif, berkata program ini juga menjadi platform untuk mengeratkan hubungan komuniti sambil memperkukuh sokongan terhadap komuniti autisme di Labuan.
“Tema kami tahun ini, Dream Is Free, membawa maksud yang sangat mendalam. Mimpi itu tidak berbayar dan kami terus berimpian agar satu hari nanti dapat membina sebuah pusat khas yang benar-benar kondusif buat anak-anak syurga ini. Dengan sokongan masyarakat Labuan dan juga Kerajaan Madani, insya-Allah, impian ini boleh jadi kenyataan,” katanya.
Majlis turut dimeriahkan dengan pelbagai pengisian menarik termasuk persembahan istimewa oleh kanak-kanak autisme, cabutan bertuah, serta acara Lantern Walk yang menerima penyertaan lebih 500 peserta.
Dalam pada itu, pelancaran Tabung Khas Wakaf Dua Ringgit 90 Sen turut diadakan, di mana setiap imbasan QR akan menyumbang kepada kerja-kerja baik pulih gelanggang dan kolam renang di fasiliti LACC.
Bercakap kepada pemberita RTM, Shaffry turut merakamkan penghargaan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, atas kelulusan lanjutan lima tahun sewaan premis LACC, serta keprihatinan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang menaja seramai 89 kanak-kanak autisme di pusat itu.
Ketika ini, LACC menempatkan 220 pelajar yang menerima pelbagai bentuk intervensi dan pendidikan khas, menggunakan modul yang turut diguna pakai di Kota Bharu.
Antara yang hadir memeriahkan program ialah Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek, bersama wakil-wakil agensi kerajaan dan swasta dari seluruh Labuan.