fb fb fb fb fb

Profesor praktis tingkat kualiti pendidikan tinggi negara

Profesor Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran

SEPANG, 15 April- Kualiti pendidikan tinggi negara akan terus dipertingkat dengan melahirkan lebih ramai 'professor of practice' atau profesor praktis, kata Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) Profesor Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran.

Prestasi pendidikan tinggi Malaysia dapat dilihat menenerusi kejayaan pelbagai aspek seperti kebolehpasaran graduan dan kedudukan institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan di kedudukan universiti dunia.

Beliau turut berpendapat ruang penambahbaikan perlu dilakukan untuk terus meningkatkan lagi imej serta tahap kualiti pendidikan tinggi.

"Satu daripada caranya ialah dengan melahirkan lebih ramai profesor praktis yang mana seseorang profesor bukan hanya menguasai teori tetapi lebih penting mampu menterjemahkannya kepada realiti dalam bentuk praktik.

"Misalnya, profesor kejuruteraan mekanikal bukan hanya tahu bagaimana sesebuah mesin berfungsi, tetapi mampu untuk membaikinya sekiranya rosak," katanya dalam satu kenyataan.

Profesor praktis ialah anugerah yang diberikan kepada individu berpengalaman luas dengan kepakaran tertentu dalam sesuatu bidang yang membawa gelaran profesor di IPT yang menganugerahkannya.

Penerima biasanya seseorang yang banyak memberi sumbangan besar kepada masyarakat.

Mohammad Shatar yakin dengan cara itu, kualiti pendidikan tinggi Malaysia akan melonjak lebih jauh terutama apabila menjadi budaya dalam kalangan profesor.

"Jadi, IPT tempatan disaran melahirkan lebih ramai profesor praktis bagi membantu membangunkan program yang ditawarkan supaya lebih relevan dan memenuhi kehendak industri.

"Insiatif ini selaras dengan hasrat Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir yang mahu menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan global," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI