KUALA LUMPUR, 17 Disember- Pereka jenama kasut wanita mewah terkenal dunia Lewre Bespoke, kelahiran Tapah, Perak Datuk Lewre Lew Fong Voon dilantik sebagai Profesor Adjung di Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif (FSKIK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Pelantikan itu untuk tempoh dua tahun, bermula November 2024 hingga Oktober 2026.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, menerusi pelantikan tersebut, UPSI terus komited untuk mengukuhkan hubungan dengan industri selaras dengan aspirasi universiti untuk menjadi pusat kecemerlangan akademik dan inovasi bertaraf antarabangsa.
"Pelantikan ini adalah sebahagian daripada usaha UPSI untuk merapatkan jurang antara akademik dan industri dengan menampilkan tokoh profesional yang diiktiraf dalam bidang penjenamaan dan keusahawanan," katanya menerusi kenyataan media.
Lewre menerima surat pelantikan, disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Abdul Rahim Razalli pada 13 November lalu.
Beliau diharap dapat membawa kepakaran dan pengalaman industri yang luas ke UPSI.
Lewre menyatakan keterujaannya atas pelantikan itu dan berbesar hati untuk bekerjasama dengan UPSI dalam usaha berkongsi ilmu serta pengalaman.
“Saya percaya integrasi antara akademik dan industri adalah kunci utama dalam menghasilkan graduan berkualiti yang bersedia menghadapi cabaran masa depan,” katanya.
Sementara itu, Dekan FSKIK, Prof. Madya Ts. Dr. Muhammad Zaffwan Idris berkata, pelantikan tersebut dijangka memberi impak besar kepada pembangunan akademik dan profesional fakulti.
“Kehadiran Lewre sebagai Profesor Adjung bukan sahaja akan meningkatkan keterlihatan UPSI di peringkat global, tetapi turut memperkukuhkan perkongsian ilmu antara universiti dan industri.
"Ini sekali gus memperkasakan pelajar dan pensyarah dalam bidang kreatif serta keusahawanan,” katanya.
Pelbagai program telah dirancang sepanjang tempoh pelantikan berkenaan, termasuk ceramah berkaitan penjenamaan, sesi bimbingan kerjaya, latihan amali bersama pelajar, serta kolaborasi universiti-industri melalui geran penyelidikan.
Antara aktiviti utama yang bakal dilaksanakan adalah program sangkutan pensyarah di Lewre Bespoke dan program latihan industri untuk pelajar UPSI, bertujuan memberi pengalaman dunia sebenar kepada para pelajar.
Jenama Lewre dilancarkan pada tahun 1997 dan amat dikenali di peringkat antarabangsa. Jenama kasut rekaan Lewré dipakai beberapa tokoh terkenal seperti Kate Middleton dan Peng Liyuan (wanita pertama China).
Lewre juga pernah mereka kasut perkahwinan paling mahal di Malaysia, bernilai RM5 juta, seperti tercatat dalam The Malaysia Book of Records pada tahun 2018.