KUALA LUMPUR, 27 Januari- Penyelidik Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Nur Azah Hamzaid bakal memberi fokus kepada Transcranial Magnetic Stimulation (TMS) dalam mencari kaedah pemulihan strok selepas menerima Geran Insentif Yayasan Penyelidikan Otak, Minda dan Neurosains Malaysia (YPOMNM) Kitar 1 2023.
Beliau berkata, dalam bidang kajian itu nanti pihaknya akan melihat sejauh mana penggunaan rangsangan magnet di bahagian otak mampu memberi kesan terhadap proses pemulihan otot pesakit strok, terutamanya otot kaki.
“Walaupun jumlah geran insentif ini tidak setinggi geran penyelidikan lain, namun saya percaya ia mampu memberi motivasi kepada kumpulan penyelidik saya meneruskan usaha kami mencari penyelesaian terbaik untuk proses pemulihan pesakit strok.
“Bidang kajian saya merangkumi kaedah-kaedah penyelesaian bagi membantu proses pemulihan fizikal yang disebabkan oleh pelbagai faktor, termasuklah strok.
Dr. Nur Azah turut yakin pemberian geran tersebut akan membantu menambah baik penyelidikannya yang telah pun bermula sejak tahun 2021.
Cek geran disampaikan Pengasas YPOMNM, Prof. Datuk Dr. Jafri Malin Abdullah dan Prof. Madya Dr. Durriyyah Sharifah Hasan Adli pada satu majlis ringkas di The Cube, Fakulti Kejuruteraan UM, baru-baru ini.
Sementara itu, menurut Prof Datuk Jafri Malin, pemberian geran insentif YPOMNM dibuat setiap tahun bagi menggalakkan pelaksanaan penyelidikan dalam apa-apa bidang berkaitan neurosains.
"Geran insentif YPOMNM ini kita telah sampaikan kepada penyelidik yang melibatkan pelbagai kajian; daripada kajian berkaitan fisiologi otak, sehinggalah kepada kajian berkaitan sosiologi dan bagaimana persekitaran turut memberi kesan terhadap kesejahteraan mental, serta kajian berkaitan rawatan terhadap pesakit strok.
"Ini selaras dengan objektif penubuhan YPOMNM yang ingin melihat rakyat Malaysia lebih menyedari serta menghargai kepentingan bidang neurosains serta isu yang berkaitan dengannya,” katanya yang juga merupakan Felo Akademi Sains Malaysia.
YPOMNM telah ditubuhkan pada tahun 2017 bawah Jabatan Perdana Menteri, menyediakan bantuan perkhidmatan dan kewangan, serta mendapatkan dana dan sumbangan bagi para penyelidik yang berminat untuk menjalankan sebarang penyelidikan berkaitan otak, minda dan neurosains.