KUALA LUMPUR, 15 September- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sudah berhubung dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Jabatan Agama Islam negeri-negeri untuk mengambil tindakan penguatkuasaan segera sekiranya didapati berlaku penyalahgunaan logo atau sijil halal pada produk Roti Ikhwan keluaran Global Ikhwan Utara.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam kenyataan memaklumkan semakan melalui Portal Halal Malaysia mendapati produk itu tidak memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang sah.
"Turut disahkan ia telah melanggar Akta Perihal Dagangan 2011 di bawah perenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.
"Akta berkenaan menetapkan semua makanan dan barang-barang tidak boleh diperihalkan sebagai halal dengan cara lain untuk menunjukkan makanan atau barang-barang itu boleh dimakan atau digunakan oleh orang Islam.
"Melainkan ia diperakukan sebagai halal oleh pihak berkuasa berwibawa dan ditandakan dengan logo sebagaimana yang dinyatakan dalam perintah terbabit," menurutnya.
JAKIM mengambil perhatian serius terhadap pertanyaan yang diterima mengenai produk berkenaan yang tular ketika ini.