PRK Kinabatangan, Lamag: Satu pusat undi awal dibuka 8 pagi ini

Foto hiasan

KINABATANGAN, 20 Januari – Satu pusat pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag di Teratak Ibu Pejabat Polis Daerah Kinabatangan dibuka pada pukul 8 pagi ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pusat pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Kinabatangan dibuka pagi ini untuk anggota polis dan pasangan mereka.
  • Seramai 196 anggota polis serta pasangan terlibat dalam proses pengundian awal.
  • PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara BN, Warisan dan calon bebas.
  • PRK DUN Lamag ialah pertembungan satu lawan satu antara calon BN dan Warisan.

Proses pengundian awal itu melibatkan seramai 196 anggota polis serta pasangan masing-masing yang menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat baharu.

Pusat pengundian awal berkenaan dijadualkan ditutup pada pukul 5 petang nanti.

PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan saingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim Moktar mewakili Barisan Nasional (BN), Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid sebagai calon bebas.

Sementara itu, PRK DUN Lamag menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, pada 5 Disember tahun lalu.

Parlimen Kinabatangan mempunyai seramai 48,722 pengundi berdaftar manakala DUN Lamag melibatkan 13,899 pengundi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi kedua-dua pilihan raya kecil berkenaan pada Sabtu ini.