PRK Kinabatangan, Lamag: Nilai, tanggungjawab calon pengaruhi kedinamikan pengundi

Penganalisis Sosiopolitik Universiti Malaya (UM), Datuk Profesor, Dr Awang Azman Awang Pawi/foto RTM

KUALA LUMPUR, 10 Januari – Politik berteraskan nilai dan tanggungjawab menjadi aspek penting dalam membentuk kedinamikan pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengundi kini mengutamakan nilai dan tanggungjawab calon berbanding politik sentimen.
  • Pembangunan setempat selari dengan misi Kerajaan Negeri Sabah menjadi ukuran kepercayaan pengundi.
  • Keupayaan calon dan parti menyantuni masyarakat luar bandar menentukan sokongan merentasi etnik.

Penganalisis Sosiopolitik Universiti Malaya (UM), Datuk Profesor, Dr Awang Azman Awang Pawi, berpandangan pola pengundian itu menandakan satu peralihan daripada politik sentimen kepada politik nilai, berasaskan personaliti calon dan kemampuan melaksanakan agenda pembangunan setempat.

“Pembangunan yang ingin dibawa perlu selari dengan orientasi keperluan serta misi Kerajaan Negeri Sabah. Sehubungan itu, pengundi di Sabah mahukan pembangunan yang membolehkan negeri itu berurusan secara langsung dengan kerajaan negeri tanpa sebarang halangan yang boleh merencatkan kesinambungan pembangunan yang perlu diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media, di sini hari ini.

Menurut, Datuk Profesor Dr Awang Azman, pola pengundian ini juga mencerminkan realiti pengundi khususnya masyarakat di luar bandar yang meletakkan pembangunan dan kemajuan sebagai penanda aras kepercayaan terhadap calon dan parti yang diwakili.

“Pengundi akan melihat siapa yang lebih mampu menyantuni mereka pada masa akan datang. Perkara itu merupakan faktor utama, tanpa mengira etnik, sebaliknya bergantung kepada calon dan parti mana yang mampu memberi kelebihan kepada pembangunan serta memastikan limpahan manfaat dapat dirasai oleh kelompok-kelompok tersebut,” katanya.

PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Bung Moktar Radin pada 5 Disember lepas.