fb fb fb fb fb

PRK Kemaman, tiada laporan polis diterima dalam tempoh seminggu berkempen

Foto Fail

KEMAMAN, 25 November- Tiada sebarang aduan atau laporan polis diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu berkaitan PRK Kemaman, sepanjang tempoh tujuh hari berkempen.
 
Semua calon yang bertanding dilihat terus mempergiat kempen, turun padang bertemu pengundi bagi meningkatkan sokongan.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan dalam satu kenyataan berkata sebanyak lima permohonan ceramah telah diluluskan membabitkan Barisan Nasional iaitu dua permohonan manakala Perikatan Nasional yang diwakili Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sebanyak tiga permohonan.

"Sepanjang tempoh berkempen, PDRM sentiasa melakukan pemantauan aktiviti kempen bagi kedua-dua parti dan calon bertanding dan tiada insiden yang menganggu ketenteraman awam, setakat ini," kata kenyataan itu.
 
Dalam masa sama, pihak polis turut menyeru parti yang bertanding agar terus mengekalkan tahap berkempen dengan baik dan tidak menimbulkan sebarang perkara yang boleh melanggar peraturan dan undang-undang dalam proses pilihan raya.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM