PUTRAJAYA, 11 Februari - Prinsip S.W.I.F.T menggariskan lima ciri kritikal agar penjawat awam menjadi pemimpin berkesan semasa berdepan krisis.
Seiring situasi semasa negara, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata “S.W.I.F.T” merujuk kepada kepantasan (speed), pengetahuan bertaraf dunia (world class knowledge), memberi inspirasi (inspirational), fleksibel (flexible) dan berasaskan teknologi (technology-based).
Tindakan berdasarkan aspirasi ini dapat memacu negara melaksanakan pelbagai inisiatif demi kecemerlangan Keluarga Malaysia.
Menurutnya, nilai SWIFT ini perlu diterapkan dalam setiap pelaksanaan inisiatif sepanjang tahun 2022 dan akan datang.
"Sebagai pemulaan tahun baharu ini, saya rasa elok kiranya kita hayati nilai speed iaitu semua penjawat awam perlu bertindak dan membuat keputusan dengan pantas dalam sesuatu urusan demi merealisasikan aspirasi kerajaan yang mengutamakan prestasi dan berpaksikan keutamaan kepada rakyat", katanya pada Majlis Amanat Ketua Setiausaha Negara Tahun 2022 di Auditorium JAKIM, Kompleks Islam, di sini, hari ini.
Majlis Amanat itu turut disiarkan secara langsung melalui Facebook Jabatan Perdana Menteri.
Selain itu, Ketua Jabatan dan penjawat awam wajar melipatgandakan usaha memperkukuh integriti dan tadbir urus menerusi pelaksanaan segala inisiatif di bawah Pelan Antirasuah Organisasi yang telah dibangunkan agensi masing-masing.