fb fb fb fb fb

PRIME perkukuh komunikasi ketika bencana - Fahmi

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil (tiga kiri) bergambar di hadapan kenderaan PRIME selepas menyempurnakan majlis pelancarannya di pejabat MCMC, di Cyberjaya / Foto Bernama

CYBERJAYA, 16 Jun – Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (PRIME) dilancarkan bagi memperkukuh sistem komunikasi di kawasan terjejas semasa bencana.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata inisiatif yang dibangunkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu merupakan langkah strategik yang menggabungkan teknologi satelit, selular, radio mudah alih, WiFi dan dron bagi memastikan liputan komunikasi yang stabil dan fleksibel di kawasan bencana.

“Sebagai permulaan, tiga unit PRIME akan disediakan secara berperingkat melibatkan kos sebanyak RM1 juta bagi setiap unit. Satu akan ditempatkan di Semenanjung, satu di Sabah dan satu lagi di Sarawak,” katanya ketika merasmikan pelancaran PRIME di pejabat MCMC, di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Abdul Halim Hamzah dan Pengerusi Eksekutif MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Fahmi berkata, antara kemudahan yang ditawarkan melalui PRIME termasuk WiFi yang menggunakan gabungan internet satelit serta 4G dan 5G. Ia turut menyokong sistem internet yang dipasang pada dron dan mampu diterbangkan sehingga jarak lima kilometer.

“PRIME menyediakan capaian internet dalam radius 150 meter dengan sokongan WiFi selain turut dilengkapi dengan sistem radio mudah alih,” katanya.

Keseluruhan sistem PRIME dikuasakan oleh bateri berkapasiti tinggi dan turut disokong oleh bekalan kuasa utama bagi memastikan operasi berjalan tanpa gangguan, terutamanya ketika waktu kecemasan.

Dalam pada itu, Fahmi turut menjelaskan PRIME juga boleh dimanfaatkan melalui Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), yang menjadi hab digital komuniti setempat.

“Selain memudahkan pelaksanaan pelbagai aktiviti kemasyarakatan, penggunaan PRIME menerusi NADI dapat memperkukuh penyampaian maklumat yang lebih inklusif dan responsif,” ujar beliau.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN