fb fb fb fb fb

Prestasi perkhidmatan rel Prasarana terus catat peningkatan

FOTO HIASAN / BERNAMA

PETALING JAYA, 6 September – Prestasi perkhidmatan rel kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) terus mencatatkan peningkatan apabila merekodkan Purata Kilometer Antara Kegagalan (MKBF) sebanyak 0.54 juta kilometer dengan hanya 24 gangguan direkodkan setakat Julai 2025.

Prasarana menerusi satu kenyataan memaklumkan, sebagai perbandingan, MKBF bagi tahun 2024 adalah 0.33 juta kilometer dengan 71 gangguan, manakala tahun 2023 mencatatkan 0.16 juta kilometer dengan 118 gangguan.

"MKBF, yang digunapakai Prasarana sejak 2023, merupakan penanda aras utama dalam mengukur prestasi perkhidmatan rel dengan matlamat mengurangkan kekerapan gangguan teknikal sepanjang jarak perjalanan," menurut kenyataan tersebut.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Amir Hamdan, berkata pencapaian ini hasil usaha keras warga kerja syarikat dalam memastikan jutaan penumpang menikmati perjalanan yang selamat dan selesa setiap hari.

Beliau berkata, peningkatan prestasi dipacu beberapa inisiatif strategik termasuk pelaksanaan program penyelenggaraan berasaskan keadaan atau Condition-Based Maintenance (CBM) dengan menggantikan komponen yang dikenal pasti bermasalah tanpa menunggu tamat jangka hayat.

Antara contoh pelaksanaan ialah penggantian sub-komponen sistem tren dan sistem isyarat bagi Laluan Kajang, selain projek penyelenggaraan separa hayat tren Laluan Ampang.

“Fokus seterusnya, Prasarana akan memberi tumpuan kepada peningkatan mutu perkhidmatan bas dengan mengadaptasi penanda aras MKBF sebagai ukuran utama,” katanya.

Prasarana komited memperkukuh peranan sebagai penyedia pengangkutan awam utama negara, memastikan perjalanan rakyat lebih selesa, selamat dan boleh dipercayai sama ada menerusi perkhidmatan rel mahupun bas.

Maklumat lanjut mengenai prestasi perkhidmatan Prasarana termasuk MKBF, jumlah perjalanan penumpang dan ketersediaan fasiliti stesen boleh disemak menerusi laman web rasmi www.myrapid.com.my
.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE