PUTRAJAYA, 5 Februari- Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev diberi sambutan negara di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, sempena lawatan rasmi dua hari ke Malaysia.
Ketibaan beliau pada pukul 10.00 pagi itu disambut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Istiadat sambutan itu dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan kedua-dua buah negara.
Presiden Shavkat Mirziyoyev kemudian memeriksa kawalan kehormat tiga pegawai dan 102 anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat).
Beliau dijadual menghadiri mesyuarat bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim bagi membincangkan dan meneliti kemajuan hubungan dua hala Malaysia-Uzbekistan, terutamanya dalam perdagangan dan pelaburan, industri halal, pendidikan, kesalinghubungan dan pelancongan.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Datuk Dr Johari Abdul, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, anggota Kabinet, Ketua Setiausaha Negara Tan Seri Shamsul Azri Abu Bakar dan pegawai kanan kerajaan.