SEPANG, 10 Februari- Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, bersama isteri, Emine Erdogan, tiba di Malaysia hari ini bagi memulakan lawatan kerja selama dua hari.
Pesawat yang membawa beliau dan delegasi mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 2.31 petang.
Ketibaan Erdogan disambut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Turut menyambut ketibaan Erdogan, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Lawatan rasmi itu bertujuan mengukuhkan hubungan rapat antara kedua-dua negara yang telah lama terjalin, terutamanya selepas penaiktarafan ke Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) pada Julai 2022.
Istiadat sambutan rasmi sempena lawatannya ke Malaysia akan diadakan esok di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya, diikuti dengan mesyuarat bersama Anwar.
Kedua-dua pihak dijangka akan meneliti kemajuan hubungan CSP antara Malaysia dan Turkiye, terutamanya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pertahanan, halal, kerjasama dalam bidang tenaga, pengurusan bencana, kesihatan, sains dan teknologi, serta kesalinghubungan.
Usai pertemuan dan mesyuarat dua hala, Erdogan dan Perdana Menteri dijadual menghadiri majlis menandatangani memorandum ersefahaman (MoU), sebelum kedua-dua pemimpin mengadakan sidang media bersama.
Pertemuan pemimpin dari dua negara itu antara lain bertujuan untuk bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa, termasuk Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, penganjuran Forum Diplomasi Antalya 2025 buat kali keempat oleh Turkiye, Islamofobia, dan perjanjian gencatan senjata terkini di Gaza.
Mengakhiri lawatannya, Erdogan akan menghadiri Forum Perniagaan yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Pada 2024, Turkiye merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia, destinasi eksport terbesar, dan destinasi import keempat terbesar dari rantau Asia Barat, dengan jumlah dagangan Malaysia-Turkiye meningkat sebanyak 18.7 peratus, bersamaan RM24.13 bilion (AS$5.28 bilion) berbanding tahun sebelumnya.