KUALA LUMPUR, 3 Mei - Presiden Kosovo, Dr Vjosa Osmani Sadriu hari ini meluangkan masa kira-kira 30 minit menelusuri warisan kesenian Islam di Muzium Kesenian Islam Malaysia (IAMM).
Dr Vjosa dan delegasi beliau tiba di muzium pada pukul 10.20 pagi dan disambut dengan pameran Samudra Berbicara: Pembentukan Dunia Melayu Islam yang memperlihatkan hubungan rapat warisan dunia Melayu dengan lautan dan perlindungan ekosistem.
Antara artifak yang menarik perhatian beliau ialah seutas kot pinggang abad ke-19 dari Semenanjung Tanah Melayu, yang diperbuat daripada sekeping kiswah dalaman Kaabah.
Kiswah itu merupakan tekstil suci yang diganti setiap tahun pada zaman Uthmaniyyah.
Selepas lawatan, Dr Vjosa diiringi Menteri Pendidikan merangkap menteri pengiring, Fadhlina Sidek untuk menandatangani buku lawatan rasmi muzium.
Dr Vjosa Osmani Sadriu berada di Malaysia untuk lawatan rasmi selama empat hari, sempena kunjungan pertama beliau ke negara ini sejak memegang jawatan Presiden Kosovo pada 4 April 2021.
Dr Vjosa (tengah) menziarahi Makam Pahlawan dan memberi penghormatan kepada
Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi / Foto RTM
Presiden Kosovo itu kemudiannya meneruskan lawatan ke Masjid Negara, di mana beliau menziarahi Makam Pahlawan dan memberi penghormatan kepada Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang disemadikan di situ.
Lawatan turut merangkumi kunjungan ke Galeri Masjid Negara, di mana beliau diberi taklimat mengenai sejarah perkembangan Islam di Malaysia serta meninjau koleksi artifak, gambar arkib dan paparan interaktif berkaitan sejarah masjid berkenaan.
Dr Vjosa turut melawat sekitar kawasan masjid yang menjadi simbol kemegahan Islam di negara ini.
Kunjungan rasmi selama empat hari itu merupakan lawatan pertama beliau ke Malaysia sejak memegang jawatan Presiden Kosovo pada 4 April 2021.
Ia disifatkan sebagai simbol hubungan erat antara Malaysia dan Republik Kosovo, khususnya dalam memperkukuhkan kerjasama dalam bidang agama, budaya dan diplomasi dua hala.