BUKIT MERTAJAM, 11 Januari- Kerajaan akan memastikan syarikat insurans tidak menaikkan premium insurans perubatan sewenang-wenangnya.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan akan terus memantau isu tersebut bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan sebarang kenaikan.
"Seperti yang telah dibincangkan dengan Bank Negara Malaysia, perkara ini masih dalam perbincangan.
"Saya telah menekankan kepada Gabenor Bank Negara bahawa syarikat insurans dan syarikat kesihatan, jika berlaku kenaikan yang tidak munasabah, rakyat tidak akan dapat menerimanya.
"Saya tidak akan mempertahankan atau membenarkan perkara itu," katanya selepas merasmikan blok baru Hospital KPJ di Bandar Perda di sini.
Turut hadir, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Terdahulu, beberapa syarikat insurans menyuarakan hasrat untuk menaikkan kadar premium insurans perubatan dalam usaha memastikan kos hospital dapat dikawal.
Namun, Bank Negara masih belum membuat keputusan berhubung perkara tersebut.