PETALING JAYA, 16 Mei - Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) optimis dapat mencapai sasaran 40 peratus kadar penggunaan pengangkutan awam menjelang 2030, selaras dengan usaha berterusan mempertingkat kemudahan dan perkhidmatan sedia ada.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah berkata dengan sokongan kerajaan, pihaknya sedang melaksanakan perancangan strategik bagi meningkatkan jumlah pengguna daripada sekitar 1.3 juta pada tahun ini kepada 1.5 juta menjelang tahun depan.
“Menambah bas lane, bas lane amat penting, akan menyenangkan bas-bas daripada segi frekuensi dan juga untuk memberi perjalanan lebih cepat. Dan juga telah bekerjasama dengan KPKT untuk menambah baik stesen-stesen bas dan perjalan-perjalanan kaki untuk rakyat senang sampai ke LRT ataupun bas stesen. ” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama UN Global Compact Network Malaysia & Brunei (UNGCMYB) yang diwakili oleh Pengarah Eksekutifnya Faroze Nadar
Menerusi Mou berkenaan, Prasarana akan melancarkan Vendor ESG Hub, platform digital khusus bagi membimbing lebih 5,000 vendor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) memahami serta melaksanakan amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
Mohd Azharuddin , berkata Vendor ESG Hub akan menyediakan akses kepada pelbagai bentuk latihan, bimbingan teknikal serta sumber pengetahuan untuk memperkasa vendor dalam rantaian bekalan syarikat.
“Ekosistem kami merangkumi lebih 5,000 vendor kecil, sederhana dan besar. Matlamat kami adalah untuk membina kesedaran, membimbing mereka merancang, dan akhirnya menyediakan laporan ESG mengikut piawaian global,” katanya kepada media selepas majlis berkenaan. Platform digital itu dijangka dilancarkan secara rasmi pada Ogos.
Sementara itu, Faroze menyifatkan pendekatan Prasarana sebagai inklusif dan progresif, kerana memberi fokus kepada pembangunan kemahiran ESG dalam kalangan vendor luar.
Tambah beliau, kebanyakan syarikat besar hanya fokus kepada staf dalaman, tetapi Prasarana memperluas capaian kepada vendor yang majoritinya adalah PKS. Ini akan memperkukuh rantaian bekalan negara secara mampan.
Beliau turut memaklumkan bahawa Prasarana menjadi syarikat kedua di negara ini selepas PETRONAS yang melaksanakan Vendor ESG Hub khusus kepada vendor luar organisasi.
Inisiatif tersebut turut menyokong pelan dekarbonisasi Prasarana, antaranya melibatkan perolehan 250 buah bas elektrik menjelang hujung tahun, penggunaan tenaga boleh diperbaharui (RE) di stesen utama, serta pemasangan lampu jalan solar di kawasan komuniti seperti di Kampung Kerdas, Gombak.
Prasarana turut merancang peluasan perkhidmatan Rapid KL On-Demand (DRT) dan menambah baik kemudahan akses laluan pejalan kaki ke stesen dengan sokongan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT). Prasarana optimis Vendor ESG Hub bakal menjadi pencetus kepada ekosistem pengangkutan awam yang lebih mampan dan berdaya tahan.