fb fb fb fb fb

Prabowo Subianto pulang ke Jakarta, selepas lawatan kerja sehari

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengiringi Prabowo Subianto (kanan) di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)

SEPANG, 9 Januari- Presiden Indonesia Prabowo Subianto berlepas pulang ke Jakarta pada pukul 1.20 tengah hari tadi selepas lawatan kerja sehari ke Malaysia.

Beliau yang tiba di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini diiringi ke pesawat bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melintasi barisan kawalan kehormatan statik oleh 28 pegawai serta anggota daripada Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat) diketuai Kapten Raja Azri Syahir. 

Anwar menyifatkan lawatan itu sebagai tanda pengukuhan persahabatan kedua-dua negara selain mengadakan pertemuan antara kedua-dua pemimpin.

"Tentunya pertemuan tidak rasmi ini hasil persahabatan kedua-dua negara dan berbincang untuk merapatkan lagi hubungan pelaburan perdagangan, kerjasama sempadan, menyelesaikan masalah yang berbangkit.

"Kunjungan rasmi beliau (Prabowo) pada 27 Januari depan. Kunjungan ini sebagai tanda persahabatan dan beliau ingin mengunjungi Malaysia untuk berbincang hati ke hati. Prabowo juga berhasrat untuk membantu saya dalam Kepengerusian ASEAN," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi Presiden Indonesia Prabowo Subiantio pulang ke Jakarta di sini.

Lawatan itu merupakan yang pertama selepas Prabowo memegang jawatan sebagai Presiden Indonesia pada Oktober 2024.

Prabowo dijangka membuat lawatan rasmi ke Malaysia pada 27 Januari depan.

Sebelum itu Probowo juga sempat menghadiri majlis makan tengah hari secara tertutup bersama Perdana Menteri di ibu negara.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI