fb fb fb fb fb

Prabelanjawan: Rakyat mahu Skim Perubatan MADANI diteruskan dan diperluaskan ke klinik swasta lain

IPOH, 8 Oktober - Skim Perubatan MADANI yang diperkenalkan pada Jun lalu, ternyata memberi manfaat buat golongan B40 untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan di klinik swasta.

Di Perak terdapat 132 klinik swasta yang menawarkan skim itu di 11 daerah.

Rata-rata orang awam yang ditemui RTM berharap agar inisiatif rintis kerajaan itu diperluaskan lagi di setiap daerah.

"Saya difahamkan lebih kurang 1,500 lebih klinik diseluruh negara yang berdaftar untuk menyertai program ini jadi ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan masa menunggu pesakit, mungkin tak ramai sangat la orang beratur di klinik-klinik kerajaan," kata Abd Razak Mohd Ali.

"Cuma saya harap kalau boleh diperluaskan lagi kepada mereka yang tergolong dalam kalangan golongan M40 yang mempunyai pendapatan di paras B40.

"Dia tak layak untuk terima bantuan kan jadi mungkin kalau boleh diperluaskan lagi lebih banyak orang dapat menikmati kemudahan macam ini, saya akui inisiatif ini memang bagus dan memudahkan untuk rakyat," kata Ili Aqilah Yus Amirul.

"Skim ini memberi peluang golongan bujang misalnya dengan jumlah kos rawatan yang ditanggung adalah RM75.

"Saya rasa golongan yang tidak ada (mempunyai) insurans yang pekerja swasta dan sebagainya bagi saya skim ini sangat bermanfaat," kata Amirul Rabbani Rashid.

Menyasarkan kepada penerima Bantuan Sara Hidup (BSH), Skim Perubatan Madani untuk golongan berpendapatan rendah mendapatkan rawatan secara percuma di klinik perubatan swasta (GP) yang berdaftar bagi mengurangkan beban kos rawatan kesihatan.


(Gambar fail Majlis Pelancaran Skim Perubatan MADANI/FOTO BERNAMA)



Pengerusi Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Cawangan Perak, Dr Suresh Subramaniam memberi cadangan agar rawatan penyakit lain turut disenaraikan dalam skim tersebut.

"Pada masa sekarang, Skim Perubatan MADANI hanya fokus kepada penyakit-penyakit Penjagaan Kesihatan Primer Akut (Rawatan Pesakit Luar Kes-Kes Akut). Jadi kalau kita melihat di Malaysia, kebanyakkan kematian berlaku disebabkan oleh Non Communicable Disease (NCD) ialah Penyakit Tidak Berjangkit. Kita harap penyakit NCD ini dimasukkan list rawatan Skim Perubatan Madani," katanya kepada RTM.

Beliau berharap lebih banyak penyertaan klinik swasta menerusi skim ini, ke arah jalinan kerjasama sektor awam dan swasta demi manfaat rakyat.

Katanya, terdapat lebih 13,000 General Practitioner -( GP) (klinik perubatan swasta) di Malaysia dan berharap lebih banyak klinik swasta terlibat dalam inisiatif ini dalam membantu mengurangkan kesesakan hospital.

Skim Perubatan MADANI adalah satu inisiatif rintis Kerajaan di bawah Belanjawan 2023 yang disediakan oleh ProtectHealth Corporation Sdn Bhd melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Skim itu menyasarkan golongan B40 bertujuan untuk menampung keperluan kesihatan penerima inisiatif terhadap Penjagaan Kesihatan Primer Akut (Rawatan Pesakit Luar Kes-Kes Akut).

Pesakit boleh mendapatkan perkhidmatan rawatan pesakit luar sekiranya mengalami penyakit seperti demam, selsema, cirit-birit, muntah, terseliuh, sakit kepala, trauma ringan seperti luka ringan dan lain-lain.

Pesakit pula dikenakan jumlah caj rawatan dalam lingkungan RM60 - RM160, tertakluk kepada jenis rawatan.

Media Baharu