fb fb fb fb fb

PR1MA rancang tambah rumah mampu milik di Perlis

KANGAR, 25 Mac - Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) kini dalam perancangan untuk menambah lebih banyak rumah mampu milik di Perlis di sini.

Pengerusi PR1MA, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya berkata antara kawasan yang mempunyai potensi bagi tujuan tersebut ialah Kuala Perlis dan Kangar.

Katanya, perancangan ini selari dengan mandat yang telah diberikan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 untuk menyediakan 100,000 unit rumah mampu milik untuk Keluarga Malaysia.

"Ini sejajar dengan aspirasi “Satu Keluarga, Satu Rumah” yang menjadi wawasan kerajaan di samping menjamin kehidupan masa panjang penduduk yang merupakan komuniti PR1MA di Perlis.

“Sasaran kita adalah untuk memperkasa golongan M40 luar bandar yang kurang mendapat akses perumahan mampu milik yang berkualiti. Maka PR1MA akan mencari jalan untuk melaksanakan pembinaan ini dalam masa terdekat melalui usahasama bersama pihak pemaju di Perlis," katanya.

 
(Pengerusi PR1MA, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya mensasarkan golongan M40 untuk rumah mampu milik di Perlis/FOTO RTM)

Datuk Dr. Fathul Bari berkata demikian ketika ditemui dalam program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Kangar.

Sehingga kini, PR1MA mempunyai sebuah residensi iaitu Residensi Bandar Putra Height yang terdiri daripada 228 unit rumah yang telah siap dibina dan kini dalam proses serahan kunci.

Tambahnya, untuk projek seumpama ini, PR1MA kini mempunyai sebuah bidang tanah di Kuala Perlis berkeluasan 15.11 ekar, manakala tanah di Kangar telah dikenal pasti dan masih dalam proses perbincangan.

Media Baharu