KUANTAN, 7 Disember- Setiap pembangunan baharu dibina perlu berlandaskan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Baginda bertitah, Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah atau PPSAS di Kuantan antara contoh pembinaan berkonsepkan ultra moden dengan ESG diterapkan.
Bangunan baharu yang menggantikan Wisma Sri Pahang bernilai RM415.52 juta, dibina berikutan pusat pentadbiran yang dibina sejak lima dekad lalu kini berada dalam keadaan tidak memuaskan serta tidak ekonomik untuk dibaiki.
"Konsep pembinaan bangunan ini agak berlainan dari konsep yang lain sebab saya berkehendakkan lebih ultra moden dengan mengambil kira konsep ESG berlandaskan keperluan ESG, boleh diambil kira pada masa akan datang dan saya dah dimaklumkan ini telah dibuat dan mudah-mudahan menjadi satu bangunan ikonik bagi mereka datang melihat sendiri dan mengambil gambar," titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Perasmian Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS) di KotaSAS, di sini, hari ini yang turut dihadiri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah bertitah peralihan pusat tadbir baharu di bandar satelit Kota Sultan Ahmad Shah, dapat mengurangkan tekanan kesesakan dan memperluaskan bandar raya Kuantan.
Baginda turut menzahirkan rasa bangga apabila pembinaan berinspirasikan Jata Negeri Pahang Darul Makmur yang dicadangkan oleh baginda pada 2014 disambut baik dengan pembinaannya kini mencapai hampir 80 peratus siap.