fb fb fb fb fb

PPS ditutup, banjir di Langkawi pulih sepenuhnya

(Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Langkawi yang dibuka sejak 16 Oktober
lalu ditutup sepenuhnya hari ini/ Foto BERNAMA)

ALOR SETAR, 23 Oktober - Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Langkawi yang dibuka sejak 16 Oktober lalu ditutup sepenuhnya pada pukul 12 tengah hari tadi.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Langkawi, Kapt (PA) Ahmad Shahfikri Darus memaklumkan kesemua 56 orang daripada 15 keluarga yang ditempatkan di Dewan Syifak di bawah Mukim Padang Matsirat itu, dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Penduduk terjejas banjir yang terdiri daripada 16 lelaki dewasa, 12 wanita dewasa, dua lelaki warga emas, empat wanita warga emas, 13 kanak-kanak lelaki dan sembilan kanak-kanak yang berada di PPS itu dibenarkan pulang selepas air surut sepenuhnya di kawasan rumah mereka.


(Pegawai Pertahanan Awam Daerah Langkawi, Kapt (PA) Ahmad Shahfikri Darus)

"Beberapa kawasan di Langkawi yang melibatkan beberapa mukim antaranya Mukim Padang Matsirat, Mukim Kuah, Mukim Bohor dan Mukim Kedawang terjejas dengan banjir selepas hujan seawal pukul 4 pagi pada 16 Oktober lalu, sehingga PPS berkenaan diaktifkan lebih kurang pukul 8 malam," kata Ahmad Shahfikri dalam kenyataan tersebut.

Antara agensi yang ditugaskan bagi membantu penduduk terjejas banjir adalah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Media Baharu