fb fb fb fb fb

Poster dakwa kerajaan setuju pengeluaran KWSP secara bulanan adalah palsu - Fahmi

(Poster palsu yang tular)

BANTING, 9 Julai- Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menafikan poster tular yang mendakwa kerajaan bersetuju dengan cadangan pengeluaran wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bulanan atau berkala.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, beliau telah mendapatkan kesahihan berhubung berita tersebut daripada pihak KWSP dan ia disahkan tidak benar.

“Saya menghantar mesej kepada beliau (Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah) dan bertanya terus kepada tuan badan menjaga urusan KWSP.

“Beliau telah menyampaikan mesej kepada saya. Ini masih dalam kajian,” katanya ketika berucap pada program Kita Madani Peringkat Negeri Selangor di Bukit Changgang, di sini.

Terdahulu, tular sebuah poster menerusi WhatsApp dan media sosial lain menyatakan seolah-olah pihak kerajaan telah membuat keputusan untuk hanya membolehkan pengeluaran simpanan KWSP oleh pencarum yang berusia lebih 50 tahun, hanya secara bulanan berbanding keseluruhan seperti yang berlaku sekarang.

Rabu lalu, Amir berkata, KWSP tidak menolak kemungkinan mempertimbangkan untuk menjadikan pilihan pengeluaran secara berkala atau bulanan apabila pencarum mencecah usia persaraan 55 tahun yang ketika ini adalah secara sukarela kepada mandatori bagi ahli baharu pada masa depan.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis berkata, kerajaan terbuka kepada cadangan tersebut yang ketika ini berada di peringkat akhir.

Bagaimanapun, jelasnya, perkara itu perlu diteliti dengan mengambil kira beberapa kekangan termasuk jumlah simpanan semasa pencarum KWSP.

(Fahmi Fadzil)

Media Baharu