AYER KEROH, 26 April - Sebanyak 80 peratus pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Melaka ditugaskan bagi menghadapi sebarang kemungkinan kes kecemasan sepanjang tempoh perayaan Aidilfitri ini.
Pengarahnya, Abu Bakar Katain berkata tiga pos sementara JBPM diwujudkan di ketiga-tiga daerah negeri itu bagi melancarkan proses menyelamat di sepanjang lebuhraya dan jalan-jalan utama.
Pos berkenaan masing-masing ditempatkan di Simpang Ampat, Alor Gajah; Ayer Keroh, Melaka Tengah dan Bemban Jasin.
Sekurang-kurangnya lima pegawai dan anggota yang ditempatkan di pos itu akan memberi respon awal jika berlaku kes-kes kecemasan, sementara menunggu ketibaan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) berhampiran.
(Abu Bakar bercakap kepada pemberita selepas pelancaran
Kempen Keselamatan Kebakaran Musim Perayaan Aidilfitri dan Ops Hari Raya
peringkat JBPM Melaka yang disempurnakan Exco negeri, Datuk Zaidi Attan)
"Bagi tujuan keselamatan jalan raya bermula 25 April ini kita telah membuat rondaan di lebuhraya, dan juga jalan-jalan persekutuan, jalan-jalan negeri, dan kawasan-kawasan kampung.
"Bagi tujuan mengambil tindakan awal, sekiranya berlaku sebarang kecemasan dan di lebuh lebuhraya juga kita tempatkan beberapa pos-pos terutama di kawasan rehat dan rawat supaya mereka boleh bertindak awal, di sepanjang lebuhraya sekiranya berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini," menurut Abu Bakar.