fb fb fb fb fb

Port Dickson bakal jadi hab keselamatan & kesihatan pekerjaan ekopelancongan

Naib Pengerusi NIOSH, Manivanan Gowin

SEREMBAN, 21 Mei- Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) akan menjadikan Port Dickson sebagai hab keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) serantau untuk sektor pelancongan.

Naib Pengerusi NIOSH Manivanan Gowin berkata lokasi Port Dickson yang amat strategik serta kestabilan Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan di bawah pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Utama Aminuddin Harun menjadikan bandar pesisir pantai tersebut amat bersesuaian untuk menempatkan pejabat dan pusat latihan baharu NIOSH.

“NIOSH telah mengenal pasti beberapa lokasi yang sesuai untuk membuka pusat latihan KKP NIOSH di Port Dickson.

"Kita bukan sahaja melihat potensi di dalam negara, tetapi ingin menjadikannya hab latihan KKP ekopelancongan terkemuka di rantau ASEAN dan peringkat global,” katanya dalam kenyataan.

Manivanan berkata pelantikannya sebagai Setiausaha Politik Pejabat Presiden, Parti Keadilan Rakyat (PKR) bulan lepas turut memberi peluang kepadanya untuk membantu usaha Kerajaan MADANI, pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa kemajuan dan kemakmuran ke seluruh negara, selain memastikan kebajikan pekerja sentiasa terbela.

“Saya sendiri telah memaklumkan hasrat NIOSH untuk membuka pusat latihan KKP tersebut kepada Menteri Besar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson serta Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan YB. Veerapan Suparamaniam,” katanya yang turut serta dalam Majlis Pecah Tanah SPD Tech Valley oleh Datuk Seri Utama Aminuddin di Senawang dan perasmian kilang Tyson Foods Malaysia di Bandar Enstek pada 20 Mei 2024.

Menurut Manivanan, Kerajaan Negeri Sembilan sebelum ini turut mengumumkan cadangan pelaksanaan 59 projek bagi memacu pembangunan pesisiran pantai Port Dickson agar menjadi destinasi pelancongan antarabangsa.

Sementara itu, Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan turut menyenaraikan empat produk teras ekopelancongan di negeri itu iaitu Pusat Edu-Ecotourism Sungai Menyala, Taman Negeri Kenaboi, hutan lipur dan pendakian gunung.

Bagi menyokong wawasan Kerajaan Negeri Sembilan, Manivanan berkata NIOSH, sebagai agensi penyedia latihan KKP di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), telah membangunkan modul latihan untuk sektor ekopelancongan yang amat bersesuaian untuk mereka yang terlibat dalam bidang perhotelan, agensi pelancongan, penyelamat (lifeguard), sukan air (water sports) dan sukan lasak (extreme sports).

Pada masa yang sama, anak syarikat agensi itu, NIOSH Certification Sdn Bhd turut menawarkan Pensijilan Sistem Pengurusan Kembara Pelancongan (Adventure Tourism Safety Management System Certification-ATSMS) yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“NIOSH akan turut meningkatkan kerjasama dengan rakan strategiknya di beberapa negara bagi memastikan kursus dan sijil KKP ekopelancongan yang ditawarkannya diterima bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat antarabangsa,” katanya.

Antara organisasi luar negara yang telah menjalinkan kerjasama dengan NIOSH termasuk NIOSH Amerika Syarikat; Finnish Institute of Occupational Health (FIOH); Institution of Occupational Safety and Health UK (IOSH); National Institute of Occupational Safety and Health Japan (JNIOSH) dan Korea Occupational Safety and Health Agency (KOSHA).

Manivanan berkata inisiatif yang diambil NIOSH juga amat bertepatan dengan persediaan Malaysia untuk mengambil alih kedudukan sebagai Pengerusi ASEAN dan menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN tahun depan.

“NIOSH yakin kerjasama erat antara negara ASEAN bakal membuka ruang yang lebih luas untuk NIOSH di rantau ini selain meneroka peluang baru di negara yang menjadi rakan strategik ASEAN seperti India dan China serta negara-negara di Eropah Timur dan Asia Barat," katanya.

ROSLINA BINTI DIN