fb fb fb fb fb

Polis tumpas sindiket dadah Pasir Berdengung

Polis merampas dadah jenis ganja anggaran berat 6.5 kilogram bernilai lebih RM20, 000

SHAH ALAM, 18 Januari - Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran ganja secara dalam talian bernilai RM20, 243 dalam serbuan di kawasan perindustrian Glenmarie, pada 14 Januari lepas.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata empat lelaki tempatan berumur 31 hingga 32 tahun ditahan dalam serbuan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPD Shah Alam pada 6.40 petang.

“Serbuan ini berjaya merampas dadah jenis ganja anggaran berat 6.5 kilogram bernilai lebih RM20, 000.

“Hasil risikan mendapati aktiviti pengedaran ini telah bergiat aktif sejak setahun yang lalu di sekitar Lembah Klang. Modus operandi adalah dengan menghantar bekalan dadah kepada pelanggan mengikut pesanan yang diterima melalui aplikasi Telegram denggan nama Pasir Berdengung,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mohd Iqbal berkata kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 15 Januari lalu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ini dianggarkan boleh digunakan seramai 1306 orang penagih," katanya.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas masing-masing dua buah kereta dan dua buah motosikal.

Mohd Iqbal juga menegaskan pihak polis akan terus berusaha memerangi kegiatan pengedaran dadah dan berharap orang ramai terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling mereka.

GRACE AISYAH KEDAYAN