fb fb fb fb fb

Polis Terengganu perketat kawalan sempadan, kekang penyeludupan

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin / Foto RTM

KUALA TERENGGANU, 10 Mac-Polis Terengganu sentiasa memperketatkan kawalan di sempadan pintu masuk negeri bagi mengekang sebarang kes penyeludupan barang terlarang. 

Kawalan berkenaan terus diperhebat di semua laluan termasuk Jalan Persekutuan, Negeri dan Laut.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata Terengganu merupakan antara laluan utama penyeludup yang membawa masuk barangan terlarang seperti dadah, mercun, rokok serta bahan letupan dari negara jiran untuk dibawa ke selatan tanah air. 

"Dari semasa ke semasa dengan adanya kita buat sekatan di jalan-jalan raya yang kita rasa sesuai dan tidak hanya kepada jalan tertentu dan kita 'Mobile snap and check' setiap kenderaan yang lalu.

"Dan kita juga mengalu-alukan sebarang maklumat daripada orang awam sekitar Besut atau maklumat luar yang boleh membantu dalam membanteras apa jua kegiatan dadah, mercun penyeludupan ketum ke ataupun bahan letupan", katanya demikian kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Besut di sini.

Pada majlis berkenaan, Supritenden Azamuddin Ahmad@Abu dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Besut yang baharu menggantikan Assistant Komisioner Polis Abdul Rozak Mohamad yang dinaikkan pangkat sebagai Ketua Polis Daerah Timur Laut Pulau Pinang.

Sebelum ini Supritenden Azamuddin menjawat jawatan sebagai Penolong Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD