fb fb fb fb fb

Polis Terengganu arah alih bendera ganggu lalu lintas, keselamatan

KUALA TERENGGANU, 30 Julai - Polis mengesan pemasangan bendera parti di beberapa kawasan menjejaskan pengguna lalu lintas.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan menasihatkan agar setiap jentera parti yang bertanding diminta untuk mengalihkan segera bendera dan gegantung yang tidak mematuhi peraturan demi keselamatan orang ramai.

Mazli berkata bahan kempen berkenaan mengganggu lalu lintas yang boleh menyebabkan insiden tidak diingini berlaku ke atas pengguna jalan raya.

"Selepas penamaan calon, kita melihat bendera-bendera ini dipasang sepanjang jalan. Bendera-bendera yang dipasang ini agak tidak tersusun dan boleh menyebabkan gangguan kepada pengguna lalu lintas serta pemandangan pemandu.

"Pemandangan pemandu boleh terjejas kerana pemasangan bendera yang bersimpang-siur, jadi kita minta kepada semua parti, calon-calon, penyokong atau sesiapa sahaja yang bekerja untuk parti pastikan bendera yang dipasang dalam keadaan sempurna serta tidak mengganggu penglihatan, pandangan dan juga pergerakan terutamanya di kawasan jalan raya, sama ada jalan kampung, mahupun jalan utama," katanya kepada RTM ketika menjadi tetamu untuk siaran Berita Wilayah petang tadi.

(Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan menjadi tetamu untuk siaran Berita Wilayah dari Kuala Terengganu)

Beliau turut mengingatkan agar semua parti politik yang bertanding dalam pilihan raya di negeri itu supaya mengelak daripada menyentuh isu 3R iaitu bangsa, agama dan raja sepanjang tempoh berkempen nanti.

"Kita akan membuat pemantauan terhadap aktiviti-aktiviti yang boleh mengganggu-gugat keselamatan dan juga ketenteraman di negeri ini.

"Biarlah mereka (calon) yang berkempen dengan cara tertib dan juga menghormati undang-undang dan patuhan yang ada di negara ini supaya proses pilihan raya ini dapat berjalan denga lancar dan memberi manfaat kepada negara," tambah beliau.

Hari pengundian bagi PRU DUN KE-15 enam negeri akan dilaksanakan serentak pada 12 Ogos depan.

PRU DUN ke-15 melibatkan 36 kerusi DUN Kedah, Kelantan (45), Terengganu (32), Pulau Pinang (40), Selangor (56) dan Negeri Sembilan (36).

PRU DUN ke-15 enam negeri itu juga akan menyaksikan sebanyak 245 kerusi DUN menjadi rebutan parti-parti bertanding pada pilihan raya negeri kali ini untuk mendapatkan mandat rakyat.

ARTIKEL BERKAITAN:
Harapan-BN yakin dapat tawan Kedah, Terengganu kali ini - Ahmad Zahid
Buat pertama kalinya MUDA dan AMANAH pertaruh calon di DUN Terengganu
Calon bertanding dilarang sentuh isu 3R - Polis Terengganu
PRK Kuala Terengganu, satu lawan satu PH dengan PN
DUN Kijal: Bekas MB Terengganu, Ahmad Said dicabar Razali Idris
PRU DUN ke-15: Pas Terengganu berhati-hati dalam kempen

Media Baharu