fb fb fb fb fb

Polis siasat insiden libatkan keselamatan institusi penting, tindakan rambang atau terkoordinasi

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

PUTRAJAYA, 20 Mei - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat sama ada beberapa insiden melibatkan keselamatan institusi penting negara dan melibatkan Ahli Parlimen merupakan tindakan rambang atau rancangan terkoordinasi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata PDRM dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius isu berkenaan dan sedang memantau rapi keadaan keselamatan di semua peringkat bagi mengelak sebarang insiden lanjut.

“Adalah penting dalam siasatan polis untuk tentukan (insiden) adalah tindakan rambang atau sebahagian rancangan terkoordinasi, sama ada dilakukan individu atau kumpulan.

"Polis telah memulakan siasatan segera bagi setiap kes dan berada dalam keadaan berjaga-jaga untuk mengelak insiden lanjut. Ini komitmen polis kerana ketenteraman dan keselamatan awam itu tidak boleh dikompromi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Garis Panduan Penapisan Filem baharu, di sini.

Tegas Saifuddin Nasution, setiap siasatan polis perlu dilakukan tanpa spekulasi dan andaian kerana hanya akan menjejaskan hasil siasatan.

Orang ramai turut disaran tidak membuat spekulasi atau menyebarkan pendapat tidak berasas melalui media sosial mengenai insiden berkenaan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN