KUALA LUMPUR, 18 Oktober - Polis Diraja Malaysia (PDRM) berada dalam kesiapsiagaan sepenuhnya bagi mengawal keselamatan ketua-ketua negara dan delegasi, menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada 26 hingga 28 Oktober.
Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) (Gerakan/Operasi) Bukit Aman, Datuk Fisol Salleh berkata penugasan berskala besar itu melibatkan hampir 10,000 pegawai dan anggota dari pelbagai jabatan di Bukit Aman.
Ini termasuk KDNKA, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), serta Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT).
Penugasan turut melibatkan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, termasuk lebih 900 pegawai dan anggota trafik dari luar ibu negara.
"Kalau ikut kekuatan yang kita tugaskan untuk Ops ASEAN 47 tahun ini, anggarannya hampir 10,000 anggota keseluruhan, berdasarkan unjuran Kementerian Luar membabitkan delegasi yang menginap di 24 hotel sekitar ibu negara," katanya pada sidang media Taklimat Penugasan PDRM di Tapak Hangar Bandar Malaysia, di Kuala Lumpur.
Beliau berkata lebih 17 lokasi dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan utama, dengan penempatan anggota dilakukan secara berperingkat sejak awal minggu ini.
Katanya lagi, kawalan keselamatan turut membabitkan Unit Tindak khas (UTK) dan Cawangan Khas Bukit Aman bagi mengendalikan delegasi berisiko tinggi.
Antara aset baharu yang digunakan termasuk kenderaan perisai (APC) dan kereta keselamatan Pasukan Gerakan Am (PGA), selain penggunaan dron dan peralatan logistik lain bagi memastikan pemantauan berjalan lancar.
Sementara itu, tiada penutupan sepenuhnya akan dikenakan sepanjang sidang kemuncak berlangsung, namun polis akan meningkatkan kawalan serta pemantauan trafik di lokasi-lokasi utama sekitar ibu negara.