fb fb fb fb fb

Polis sahkan video lelaki lepas tembakan di tempat awam adalah operasi tembak gagak

FOTO Majlis Bandaraya Subang Jaya

KUALA LUMPUR, 1 Oktober- Rakaman video yang tular sejak semalam menunjukkan seorang individu melepaskan tembakan di kawasan awam di Subang Jaya dekat sini adalah operasi menembak gagak yang dianjurkan oleh Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat menerusi satu kenyataan memaklumkan operasi yang dijalankan pada Sabtu lepas telah mendapat kelulusan pihak Unit Pelesenan Senjata Api, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Jelasnya, operasi berkenaan juga telah dimaklumkan kepada orang ramai melalui notis oleh MBSJ.

"Operasi disertai 25 peserta terdiri daripada orang awam yang memiliki lesen senjata api sah dan pihak penganjur juga mengambil langkah keselamatan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Operasi tersebut berjalan dengan lancar dan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan video berkenaan atau membuat spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran awam," katanya.

Terdahulu, tular satu rakaman video mengenai kejadian itu yang dimuat naik oleh seorang pemilik akaun di laman sosial Facebook dan mendapat pelbagai reaksi netizen.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE