KUALA NERUS, 23 Mac - Penemuan objek besi berbentuk seumpama torpedo di Pantai Seberang Takir, di sini disahkan bukan bom sebenar.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira 7.30 pagi tadi yang memaklumkan penemuan objek berbentuk seakan peluru berpandu sepanjang 2.7 meter.
Beliau berkata hasil pemeriksaan unit pemusnah bom di lokasi mendapati objek seberat 70 kilogram (kg) berbentuk torpedo yang mempunyai banyak pendawaian itu bukanlah bom seperti disangka, dan hasil ujian juga mendapati objek itu bebas daripada bahan radiasi berbahaya.
"Saya mengesahkan ia bukan bom dan ia merupakan alat yang digunakan untuk kajian marin iaitu kajian tentang pasang surut ombak, pasang surut air dan tentang kehidupan marin," katanya ketika ditemui pemberita.
Azli berkata polis sedang mengesan pemilik objek tersebut yang dipercayai dihanyutkan ombak Monsun Timur Laut (MTL).
"Dan kita cuba mengesahkan siapa pemiliknya sejauh ini tidak ada tanda yang mengesahkan ia milik syarikat tersebut dan kita akan bawa balik benda ini dan setelah menggunakan ujian radiasi ia tidak berkaitan dengan apa-apa bahan radiasi," katanya.