fb fb fb fb fb

Polis Perak-Pos Malaysia jalin kerjasama banteras penyamaran kurier

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri (kanan) dan Pengarah Operasi Pos Malaysia Berhad Zaini Yahman (kiri) menunjukkan poster Awas Phone Scame Penyamar Pos Malaysia pada Pelancaran Program Pencegahan Jenayah Komersil Phone Scam-Penyamar Pos Malaysia di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak hari ini/Foto BERNAMA

IPOH, 26 Mac - Polis Perak menjalin kerjasama dengan Pos Malaysia Berhad bagi menangani jenayah penipuan dalam talian menerusi Program Pencegahan Jenayah Komersil-Phone Scam sejak Januari lalu.

Ketua Polis Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata untuk tahun lalu sahaja, sebanyak 226 kes phone scam penyamaran syarikat kurier telah disiasat oleh pihaknya.

Mohd Yusri berkata, kes penyamaran syarikat kurier itu melibatkan nilai kerugian lebih RM8 juta.

"Daripada jumlah tersebut 96 kes melibatkan penyamaran sebagai Pos Malaysia.

"Pos Malaysia Berhad dilihat sebagai rakan strategik yang berkepentingan kerana penyamaran sebagai Pos Malaysia merupakan salah satu pendekatan modus operandi yang kerap digunakan oleh sindiket phone scam.

"Seramai 407 orang posmen telah terlibat dalam pengedaran risalah anti-scam ini di seluruh negeri Perak termasuk Cameron Highland yang mana melibatkan sebanyak 33,000 risalah," katanya selepas majlis pelancaran program tersebut di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak hari ini.

Menurut beliau, ia merupakan projek rintis yang dimulakan di negeri Perak sebelum diperluaskan ke negeri lain.

GRACE AISYAH KEDAYAN