fb fb fb fb fb

Polis kenal pasti individu lakukan pemerasan di Langkawi

Tangkap layar kenyataan media Polis Kedah

ALOR SETAR, 31 Januari- Polis sedang mengenal pasti individu yang disyaki anggota polis melakukan pemerasan dan menerima suapan di Pulau Langkawi.
 
Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh dalam satu kenyataan berkata, satu laporan polis telah diterima berkaitan video yang tular berkenaan kejadian tersebut.

Siasatan dijalankan bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan, Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998.
 
Usaha mengesan saksi-saksi terlibat sedang dijalankan bagi membantu melengkapkan siasatan.
 
Fizol menegaskan pihaknya sentiasa peka dan mengambil berat tentang sebarang salah laku oleh anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta sentiasa bersikap profesional dalam memastikan ketelusan tindakan dalam menguatkuasakan undang-undang.
 
Bagaimanapun orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan kejadian itu yang boleh menganggu siasatan.
 
Semalam Ketua Polis Langkawi Asisten Komisioner (ACP) Shariman Ashaari dalam satu kenyataan turut memandang serius dan tidak akan melindungi mana-mana individu terlibat selain mengambil tindakan tegas terhadap pelaku dalam kejadian itu.
 
Rakaman video berdurasi 1 minit 44 saat yang tular di aplikasi Tiktok pada 29 Januari lalu memaparkan seorang lelaki dan seorang perempuan warga disyaki warga asing telah ditahan oleh penguatkuasa disyaki anggota polis atas kesalahan lalu lintas iaitu tidak memakai topi keledar di Kawasan Pulau Langkawi.
 

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI