MACHANG, 5 Mac - Sebanyak tujuh kertas siasatan tatatertib dibuka terhadap pegawai dan anggota polis di Kelantan setakat ini, kata Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun.
Menurut beliau antara siasatan melibatkan dua kes khalwat dan satu kes siasatan membabitkan kerani yang bertugas yang melakukan kesilapan.
"Turut disiasat, kesalahan berkaitan tahanan lolos ketika berada dalam tahanan lokap Mahkamah Pasir Mas serta kes rogol di Tumpat.
"Siasatan dilakukan bagi memastikan mereka yang bersalah berdepan dengan tindakan dan pihaknya mahu pastikan tidak ada lagi kes seperti itu berlaku," katanya selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Machang dan Pengerusi PERKEP, di Ibu Pejabat Polis Daerah Machang, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Datuk Muhamad Zaki meminta agar empat lelaki yang terlibat kesalahan-kesalahan jenayah bersabit kes pukul, ugut, mendatang kecederaan dan pecah rumah yang dilakukan di Kota Bharu tampil membantu siasatan.
Beliau berkata, senarai orang dikehendaki sudah dikeluarkan semalam dan meminta mereka yang terlibat berikan kerjasama.
Antara senarai nama yang dikeluarkan, Mohd Fared Abdul Ghani, 56-tahun yang merupakan Presiden Persekutuan Muay Thai Profesional Malaysia; Mohd Izani Ibrahim,42-tahun; Mohd Haziman Hikamarhakimi, 37 tahun dan Wan Sharilazry Wan Mohd. Sukry, 35 tahun.