PORT DICKSON, 12 November – Polis sedang mengesan waris seorang lelaki tanpa identiti yang ditemukan terapung berhampiran sebuah hotel di Pantai Batu 4, Jumaat lepas.
- Polis mengesan mayat lelaki tanpa identiti ditemui terapung berhampiran hotel di Pantai Batu 4, Port Dickson.
- Pemeriksaan awal: tiada kecederaan luaran, bedah siasat dan cap jari dilakukan tetapi waris masih belum dikenal pasti.
- Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut; orang awam diminta menghubungi Balai Port Dickson jika mengenali mangsa.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Penguasa Polis Supt Maslan Udin, menerusi satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira 7.55 malam dan siasatan mendapati mayat lelaki itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.
Belaiu berkata, hasil siasatan awal mendapati mayat tersebut berketinggian 164 sentimeter dengan berat 64 kilogram, berkulit cerah dan berambut pendek beruban.
“Mayat ditemui dalam keadaan berpakaian t-shirt hitam bercorak jalur serta berseluar pendek hijau bertulisan ‘S.ARMY’ di bahagian kiri.
“Pemeriksaan tubuh si mati tidak menemukan sebarang kesan kecederaan atau perlakuan jenayah. Mayat telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Port Dickson untuk bedah siasat dan pengambilan cap jari, namun masih gagal mengenal pasti waris,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes kini diklasifikasikan sebagai mati mengejut, dan polis menyeru orang awam atau mana-mana individu yang kehilangan ahli keluarga supaya menghubungi Ketua Polis Balai Port Dickson, Insp Rowi Hasan di talian 019-6666652 / 06-6472222 atau mana-mana balai polis berhampiran.