KUALA LUMPUR, 17 Mei - Tindakan pantas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya mengawal kebakaran sebuah bilik Pencawang Masuk Utama (PMU) ke bilik transformer Tenaga Nasional Berhad (TNB) di bangunan Mid Valley Megamall pada pukul 10.30 pagi tadi.
Komander Operasi Bomba, M Fatta M Amin berkata kebakaran berjaya dipadamkan kira-kira pukul 12.44 tengah hari.

"Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah melakukan tindakan awal di mana kita mengamalkan 'offensive fire fighting' dengan menggunakan buih. Kita juga menjalankan kerja-kerja 'defensive attacking' di mana kita hendak selamatkan tiga transformer yang bersebelahan dengan transformer yang pertama," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.
Tambah M Fatta, satu pasukan dengan empat anggota telah dihantar ke tingkat atas bangunan bagi mengenal pasti jika terdapat sisa-sisa kebakaran berlaku.
Tiada mangsa yang terlibat dalam kebakaran tersebut dan punca kebakaran masih dalam siasatan.
Sementara itu, pengurusan Mid Valley City mengesahkan pusat beli-belah itu ditutup buat sementara waktu.
Penutupan dibuat sebagai langkah keselamatan membabitkan pengunjung dan petugas.
"Kami ingin memaklumkan premis turut menanti bekalan elektrik kembali pulih sebelum boleh dibuka. Pihak pengurusan meminta maaf atas sebarang kesulitan yang timbul," kata Mid Valley City menerusi kenyataan.
Mid Valley City turut memaklumkan tarikh pembukaan semula pusat beli-belah itu akan dimaklumkan dalam masa terdekat.