KUALA LUMPUR, 22 April- Tabung Pembiayaan Kebangsaan bakal dilancar Khazanah Nasional dengan peruntukan awal sebanyak RM1 bilion untuk dilabur ke syarikat tempatan berinovasi tinggi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan tersebut adalah usaha menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab strategik untuk syarikat pemula niaga serta pelabur tempatan dan asing.
"Dalam hal ini, saya berbesar hati, berkongsi bahawa Khazanah Nasional akan melancarkan 'National Fund-of Funds' dengan peruntukan awal RM1 bilion untuk melabur dalam inovasi syarikat berpertumbuhan tinggi di Malaysia," katanya pada majlis pelancaran Sidang Kemuncak KL20 di sini, hari ini.
Anwar berkata, dalam pengumuman Belanjawan Malaysia MADANI 2024 pada Oktober lalu, beliau menggariskan komitmen kerajaan untuk membantu syarikat Malaysia membabitkan usahawan Bumiputera, syarikat baharu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk terus meningkat.
"Kerajaan juga menyasarkan untuk memusatkan agensi pelaburan seperti Malaysia Venture Capital Management Bhd (MAVCAP) dan Penjana Kapital di bawah Khazanah," katanya.
Dalam ucaptamanya, Perdana Menteri turut mengumumkan beberapa pelaburan baharu membabitkan 25 entiti yang akan memberi peluang sebenar kepada Malaysia mencipta usaha niaga teknologi canggih.
"Pelaburan hari ini antara lain membabitkan dana kekayaan negara, Khazanah Nasional, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) dan Blue Chip Venture Capital yang akan melabur sehingga RM3 bilion dalam ekosistem Asia Tenggara dan Malaysia di bawah Inisiatif Pelaburan ASEAN.
"Sebanyak 12 firma modal teroka antarabangsa akan menubuhkan pejabat dan dana baharu di Kuala Lumpur dengan saiz aset di bawah pengurusan melebihi berbilion-bilion dan rekod prestasi pelaburan yang cemerlang.
"Ini membolehkan penemuan syarikat pemula Malaysia yang baik dan dipupuk untuk berjaya pada peringkat global," katanya.
Jelas Anwar, kesemua pihak itu akan melabur sehingga RM3 bilion dalam ekosistem Malaysia dan Asia Tenggara menerusi Insiatif Pelaburan ASEAN.
Sidang Kemuncak KL20 berlangsung selama dua hari sehingga esok dijangka akan menghimpunkan lebih 3,000 peserta.
KL20 bakal menyerlahkan potensi Malaysia yang memiliki persekitaran kondusif untuk syarikat pemula niaga terutama sektor pembuatan dan automasi, teknologi pertanian serta kewangan Islam.
Ia juga detik penting dalam perjalanan Malaysia menjadi kelompok 20 teratas syarikat pemula niaga global menjelang 2030, sekali gus memperkukuh kedudukan negara sebagai destinasi utama syarikat berkenaan dan pemodal teroka.